"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya." Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.
Terdapat seorang
pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada
suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk
menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia
berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah
melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa
sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali
bertaubat."
" Yang pertama, aku lihat mayat
yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula
kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat.
Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai
anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t.
sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan
wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan
muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.
Sambung pemuda itu
lagi, " Golongan yang
kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam
liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat
wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan
guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah
golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya
solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah
amalan-amalan kita yang lain,"
Pemuda itu
menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan
yang ketiga yang aku lihat,
pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali
kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula
ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." " Mereka itulah
golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli
ibadah itu lagi.
" Golongan keempat, ku lihat
mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa
terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai
pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu
hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia
yang menderhakai ibu bapanya."
" Golongan kelima, ku lihat ada
pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya
dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. "
Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa
hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih
daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa
yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat
baginda," jelas ahli ibadah tersebut.
" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya
lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku
lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk
baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba
sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.
" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa
tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan
guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai
pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula
dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan
kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah
matinya."
Ingatlah,
sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan
kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan,
hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..
No comments:
Post a Comment