Friday 1 June 2012

BAB 7

Mulutnya terkumat kamit seperti sedang bertasbih kerana butir bicara bercampur baur. Rasa marah, geram, sakit dan sewaktu dengannya menghantui dirinya terhadap sikap laki-laki yang berlanggar dengannya petang tadi. Senyuman kecil terukir di wajah teman sebiliknya kerana geli hati melihat wajahnya yang cemberut dan mulutnya tidak henti-henti membebel sejak sampai ke bilik petang tadi. Butir bicara yang terkeluar dari ulas bibirnya langsung tidak difahami oleh teman sebiliknya.

“Fiqa..” Siti Amirah memanggil teman sebiliknya itu sambil menepuk perlahan bahu  Afiqah Zahra dan dia duduk bertentangan dengan Afiqah Zahra. Dia ingin tahu kenapa Afiqah Zahra membebel sejak petang tadi. Jelas kelihatan wajah Afiqah Zahra yang tidak berpuas hati. Entah apa yang menyebabkan dia marah sangat Siti Amirah tidak tahu.

“Kau marah kat sape ni? Sejak tadi aku tengok kau membebel, tapi satu apa pun aku tak faham. Ce citer kat aku, mana tahu aku boleh tolong.” Novel Mencari Cinta karya Aleeya Aneesa di atas meja belajar temannya itu di capai dan sinopsis di belakang novel tersebut dibaca olehnya. Dia sendiri hairan kerana teman sebiliknya itu terlalu suka dengan novel tersebut. Sering kali dia tengok Afiqah Zahra menangis apabila membaca novel itu.

“Petang tadi aku jumpa sekor mamat terlebih sifat, geram betul aku. Gara-gara dia aku dapat malu dan dia juga laki-laki ajnabi pertama yang buatkan airmata aku gugur. Geram sangat dengan dia tu, kalau boleh nak ajak aku tumbuk-tumbuk muka dia, kemudian aku uli macam tepung buat roti canai. Eeeeeee!!!!!” Lama Afiqah Zahra terdiam sebelum meneruskan kata-kata. Perasaan geram dan sebal masih menebal dalam hatinya terhadap lelaki sombong itu.

“Kejap-kejap, kot ya pun jangan la marah-marah macam ni. Ce citer hal yang sebenar kat aku.” Siti Amirah cuba menenangkan perasaan Afiqah Zahra, tidak pernah dia melihat Afiqah Zahra bersikap begitu. Afiqah Zahra yang dia kenal seorang yang lemah lembut dan tidak ambil pusing dengan tingkah orang sekeliling terhadap dirinya.

“Aku geram dengan sorang mamat sombong ni, dah la sombong, berlagak plak tu. Sakit hati betul la dengan mamat sombong tu, suka-suka dia je nak marah orang. Kalau salah aku je takpe juga. Masalahnya dia pun salah gak, asyik sangat bersms, bila dah langgar orang suka-suka je marah dan salahkan orang. Geram betul aku dengan mamat sombong yang terlebih sifat tu.” Doraemon yang berada dalam pelukan Afiqah Zahra ditumbuk kuat olehnya. Doraemon itu merupakan barangan kesayangan Afiqah Zahra kerana dia meminati siri animasi tersebut.

Meletus ketawa dari bibir Siti Amirah mendengar cerita Afiqah Zahra. Temannya itu bukan seorang yang suka membebel apatah lagi cepat melatah dengan sikap seseorang padanya. Tapi kali ini lain pula perangai temannya itu. Lebih-lebih lagi melihat Afiqah Zahra menumbuk kuat Doraemon kesayangannya itu.

“Kau kenapa? Tiba-tiba je ketawakan aku, apa hal? Aku tak buat lawak pun.” Perasaan geram dan sebal pada lelaki tadi belum hilang. Siti Amirah pula seakan-akan sedang mempermainkan ceritanya membuatkan dia bertambah geram. Doraemon yang ditumbuk kuat olehnya tadi dipeluk erat. Hatinya betul-betul sebal tiap kali teringatkan peristiwa petang tadi.

“Cool la Fiqa, takkan aku pun kau nak marah. Sorry okey, aku tak bermaksud nak ketawakan kau tapi kau yang aku kenal bukan macam ni. Kau tak cepat melatah dengan sikap orang pada kau sebelum ni. Biasanya kau buat tak tahu je sampai kau dapat gelaran hati batu. Nape tiba-tiba hari ni lain plak?” Siti Amirah memandang wajah Afiqah Zahra dengan senyuman kecil di wajahnya. Novel yang berada ditangannya dicampak perlahan ke atas katil Afiqah Zahra. Dia beralih ke arah meja belajarnya untuk menyiapkan laporan program.

“Kau merajuk ke? Maaf la Mira, aku geram dengan mamat tu. Aku pun tak tahu kenapa aku boleh geram sangat dengan dia. Gara-gara dia juga aku miss class Encik Ghozali hari ni.” Afiqah Zahra melihat wajah Siti Amirah yang hanya beriak biasa tetapi dia merasa tidak sedap hati, takut Siti Amirah terasa hati dengan kata-katanya sebentar tadi. Tiba-tiba timbul penyesalan dalam hatinya kerana meninggikan suara pada Siti Amirah gara-gara geram dengan lelaki yang dilanggarnya petang tadi.

“Aku tak merajuk pun, cuma aku pelik dengan kau. Entah-entah kau jatuh hati pada mamat sombong tu tak.” Siti Amirah tergelak sendiri dengan kenyataannya. Dia sengaja ingin melihat reaksi Afiqah Zahra.

“Kau ni kan, kalau tak mengarut memang tak sah kan? Takde maknanya aku nak jatuh hati kat mamat terlebih sifat tu.” Wajanhnya kembali mengeluarkan muncung itik, geram dengan telahan Siti Amirah terhadap dirinya.

“Dah jangan nak keluarkan muncung itik kau tu. Geli aku tengok, boleh ikat dengan getah rambut aku ni. Tapikan, kenapa kau suka panggil mamat tu mamat terlebih sifat, dia oku ke?” Siti Amirah bertanya hairan kepada Afiqah Zahra, kerana sudah dua kali temannya itu memanggil lelaki yang entah apa-apa tu sebagai  mamat terlebih sifat.

“Yea la, suka-suka dia marah orang. Aku saja je panggil dia mamat terlebih sifat. Macam dia ada lesen besar je nak tengking-tengking orang tanpa mendengar penjelasan dan memberi maaf pada orang walhal orang dah minta maafkan. Tak ke terlebih sifat marah dan ego laki-laki tu sesuai la dengan nama mamat terlebih sifat.” Sekali lagi Siti Amirah tertawa mendengar penjelasan Afiqah Zahra. Temannya itu ada-ada je. Kadang-kadang dia sendiri hairan dengan sikap temannya itu.

No comments:

Post a Comment